Anggota Umno Diingat Tidak Ulangi Kesilapan

Published On July 8, 2017 | Semasa, Terkini
Anggota Umno diingatkan tidak mengulangi kesilapan yang boleh menimbulkan krisis dalam parti seperti dua tahun lalu.Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata peristiwa di mana beberapa pemimpin dan anggota Umno dipecat dan keluar daripada parti perlu menjadi iktibar kepada semua anggota parti keramat itu.

“Jika kita ingat dua tahun lalu, perjalanan parti bukan mudah. Sudah bernafas selesa sikit kita diduga termasuk timbalan presiden tinggalkan parti.

“Anggota kita keliru mahu pilih kawan ataupun parti, tetapi kekeliruan, kegusaran dan ketidaktentuan itu sudah berlalu, nyata anggota meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan individu,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kepong, pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Pergerakan Wanita Umno merangkap Ketua Wanita UmnoKepong Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Hishammuddin berkata beliau agak lega apabila ‘mood’ mesyuarat perwakilan tahun ini lebih tenang apabila segala kekeliruan dapat dijelaskan kepada akar umbi.

Katanya ‘mood’ ini merupakan petanda baik membolehkan anggota Umno fokus pada gerak kerja pilihanraya umum (PRU) yang akan datang bagi memastikan kemenangan tetap berpihak pada Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongan anggota sahaja tidak menjamin kemenangan malah perlu berusaha terus meraih sokongan rakyat.

“Seronok kita-kita sahaja bukan jaminan kita boleh menang. Dengan kelebihan ‘mood yang ada kini bukan hanya berkisar pada kemenangan tetapi isyarat memenangi hati pengundi,” katanya.

Sementara itu, Shahrizat dalam ucapannya mengulangi hasrat memperjuangkan sasaran 30 peratus calon-calon wanita dalam PRU14.

“Kita percaya Datuk Seri Hisham (Hishammuddin) boleh bisik-bisik kepada presiden supaya letakkan lebih ramai calon wanita dalam PRU kali ini,” katanya.

Katanya lagi sayap Wanita menegaskan pendirian memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau juga berharap suara wanita akan didengari menjadi sebahagian wadah dalam Transformasi Nasional 2050.-Bernama

 

mStar

Like this Article? Share it!