KOLAM PANCAWARNA DI LEMBAH HUANGLONG

Published On June 7, 2017 | Buletin MySuaraFM, Seni Budaya, Terkini

 

Oleh: Faizal Riduan

Foto: Faizal Riduan / Tay Huay Ming

Sebelum ini saya pernah pergi ke Kawah Putih, Ciwidey, Indonesia dan pastinya kunjungan ke Kolam Lima Warna di Lembah Huanglong, Chengdu, China akan menambah rekod destinasi keajaiban dunia saya.

Jika Kawah Putih dikatakan sebagai “syurga yang tercicir”, Kolam Lima Warna pula dikatakan sebagai “syurga di bumi” yang dikenali sejak zaman Dinasti Ming (1368-1644) melalui kewujudan tiga kuil purba. Ia sebenarnya menggambarkan rahsia keajaiban alam yang tersimpan sejak ribuan tahun lalu.

 

Keterujaan saya bermula apabila menaiki kereta kabel dan melihat keputihan banjaran gunung Minshan yang diselimuti oleh salji dan glasier. Namun perjalanan lebih 3.6km sejak jam 10 pagi iaitu ketika matahari sedang naik amat memenatkan. Saya langsung tidak berpeluh kerana cuaca yang sejuk sama seperti salji yang masih belum mencair di atas pucuk daun dan puncak pokok.

Namun keberadaan pada ketinggian 3,576 meter dari paras laut memberikan tekanan udara menyebabkan saya agak sukar bernafas dan pening kepala. Mujur dengan pelantar pejalan kaki memudahkan pelawat berjalan secara santai dan tidak perlulah beraksi seperi seorang pendaki yang lebih mencabar dan terdedah kepada bahaya.

Dari kejauhan, Huanglong tampak seperti jelmaan ‘Naga Kuning’ yang meliuk turun dari gunung-ganang dan hutan tebal sesuai dengan nama jolokannya. Kolam-kolamnya tersusun cantik seperti sisik naga. Dengan pemandangan puncak salji, air terjun, kolam travertinformasi batu kapur dan mata air panas menyajikan sebuah panorama seperti dalam lukisan-lukisan klasik China.

Kemuncak keasyikan apabila dapat melihat Kolam Lima Warna (Wu Cai Chi) yang mempunyai 693 kolam kecil dan meliputi lebih daripada 21,000 meter persegi. Rasa penat dan lelah hilang dengan serta-merta dibawa angin petang. Pemandangan teresan kolam air yang seperti bersilang dan bertingkat dengan warna putih, kuning, hijau, biru dan coklat adalah hasil ‘lukisan’ geologi ribuan tahun lalu.

Kolam-kolam yang terevolusi dari teres travertin yang terbentuk dari endapan batu kapur dari sumber mata air panas di pergunungan ini menjadikannya khazanah alam yang kaya malah sebahagian dari senarai Warisan Dunia UNESCO sejak 1992.

 

Seperti syurga yang mempunyai pelbagai tingkat, selain Kolam Lima Warna, Huanglong juga menyambut tetamunya dengan Kolam Selamat Datang (Yingbing Chi), Kolam Bonsai (Pen Jing Chi), Kolam Azalea (Suo Luo Ying Chi), Kolam Cermin (Ming Jing Deo Ying Chi), Kolam Flamboyan (Zheng Yan Chi) dan Lembah Pasir Emas (Jin Sha Pu Di).

Sayangnya sepanjang perjalanan pulang, saya tidak dapat menemui panda dan monyet hidung pendek keemasan yang pernah mempunyai habitatnya di sini. Adakah haiwan-haiwan ini akan menjadi seperti ‘Naga Kuning’ yang hanya kekal dalam mitos dan lagenda? Saya akhirnya kembali penat dan lelah apabila sampai ke kaki gunung pada jam 4.00 petang.

 

*Faizal Riduan mewakili MySuara mengikuti rombongan Kembara Laluan Sutera 2017 ke Sichuan tajaan Radio Antarabangsa China (CRI).

Like this Article? Share it!