MRT Sungai Buloh-Kajang Kurangkan 160,000 Kenderaan

Published On July 14, 2017 | Semasa, Terkini

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menjangka penurunan 160,000 kenderaan persendirian memasuki Lembah Klang setiap hari apabila perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (Laluan SBK) beroperasi sepenuhnya mulai 17 Julai ini.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT, Datuk Najmuddin Abdullah optimis penggunaan perkhidmatan Laluan SBK sejauh 51 km itu dapat menangani masalah kesesakan lalu lintas secara drastik di ibu kota.

“Apabila anggaran 400,000 penumpang menggunakan Laluan SBK setiap hari, ini bermakna kami menjangka dapat mengurangkan 160,000 kenderaan di atas jalan setiap hari.

“Sebuah tren dengan 4 gerabak boleh membawa 1,200 penumpang dengan selesa… bayangkan ruang yang diperlukan jika setiap penumpang ini terus menggunakan kenderaan masing-masing untuk berulang-alik dari rumah ke tempat kerja.

“Jika jumlah penumpang ini meninggalkan kereta masing-masing di rumah dan mengambil tren, bayangkan ruang kosong yang dapat diwujudkan di atas jalan serta pemilik kenderaan dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata hampir 2 juta orang menggunakan perkhidmatan MRT sejak fasa pertama Laluan SBK meliputi jarak sepanjang 21 km dari Sungai Buloh ke Semantan mula beroperasi sejak Disember tahun lepas.

Like this Article? Share it!