Prestasi Suram, Akhbar Thailand Gesa Rombak Sukan

Published On August 29, 2017 | Luar Negara, Sukan, Terkini

Sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris yang popular di sini menggesa rombakan dilakukan terhadap program sukan Thailand berikutan kualiti  atlet negara itu dikatakan merudum pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang sedang berlangsung.

Dalam teguran keras terhadap pihak berkuasa sukan negara itu, akhbar The Nation dalam lidah pengarangnya pada Isnin berkata, negara telah gagal  terutamanya dalam (acara) sukan antarabangsa pada temasya dwitahunan yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

“Pada Kuala Lumpur 2017 , Thailand telah gagal terutamanya dalam ‘sukan antarabangsa’. Pendek kata  sekiranya acara sukan serantau (tradisional) dikeluarkan daripada carta pingat, negara masih ketinggalan di belakang  Malaysia, Singapura dan Vietnam,” katanya.

Penyenaraian sukan tradisional dalam Sukan SEA, katanya telah dijadikan alasan oleh negara jika ia kalah kepada Malaysia untuk kekal mendominasi temasya serantau itu, tetapi ia tidak boleh bergantung pada alasan dan hujahan itu lagi pada kali ini.

Thailand yang menyasarkan 109 pingat emas pada  SEA Games Ke-29 itu, menurut akhbar itu, sudah kehabisan alasan dan pada masa sama  turut hilang cengkaman dalam sukan-sukan antarabangsa.

Sementara itu, Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA, walaupun berdepan kritikan kerana  menganjurkan sukan-sukan yang dikuasainya, ia telah membuktikan bahawa atlet-atlet mereka memang tiada tandingannya apabila membabitkan sukan-sukan antarabangsa, menurut akhbar itu.

Berbaki dua hari lagi pertandingan, Malaysia jauh mendahului dalam jumlah pungutan pingat dengan 101 emas setakat petang ini dan bakal dinobatkan sebagai juara keseluruhan manakala Thailand di tempat kedua dengan 58  emas.

Thailand ialah juara keseluruhan Sukan SEA dua tahun lepas di Singapura.-Bernama

mStar

Like this Article? Share it!